Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

PENDIRIAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BERHUBUNG DENGAN PEMBUKAAN UMRAH OLEH KERAJAAN ARAB SAUDI UNTUK JEMAAH DARI LUAR NEGARA BERKENAAN

BERAKAS, 07 Rabiulakhir 1442H bersamaan 23 November 2020M:Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam ingin memaklumkan mengenai dengan pendirian Negara Brunei Darussalam berhubung dengan pembukaan umrah oleh Kerajaan Arab Saudi untuk Jemaah dari luar negara berkenaan dalam situasi pandemik wabak COVID-19 yang masih melanda dunia pada ketika ini.

Majlis Ugama Islam dalam mesyuaratnya kali ke-enam belas (XVI) Tahun 1442H/2020M yang berlangsung pada hari Sabtu, 21hb Rabiulawal, 1442 bersamaan 7hb. November, 2020 telah membincangkan perkara mengenai pembukaan umrah oleh Kerajaan Arab Saudi untuk jemaah dari luar negara berkenaan yang mula dibukakan pada 1 November 2020.

Dalam menimbangkan perkara tersebut Majlis Ugama Islam adalah berpegang sebagaimana ketetapannya sebelum ini berhubung dengan penghantaran Jemaah Haji bagi Tahun 1441/2020 dalam situasi pandemik Wabak COVID-19.

Selain berpandukan kepada Fatwa Mufti Kerajaan melalui Siri Fatwa (14/2020) itu, Majlis turut berpandu kepada penilaian pihak Kementerian Kesihatan yang mendapati situasi semasa penularan wabak COVID-19 di peringkat global yang masih merekodkan kes-kes positif jangkitan virus COVID-19. Dengan situasi tersebut, masih ada kekhuatiran berhubung keadaan penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan kebanyakan negara pada masa ini.

Dengan berasaskan kepada ketetapan hukum syara’ serta penilaian daripada pihak berkuasa kesihatan, maka Majlis Ugama Islam dengan ini memutuskan belum dapat membenarkan bagi rakyat dan penduduk di negara ini untuk melaksanakan ibadah umrah buat sementara waktu. Larangan ini termasuklah kepada rakyat Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di luar negara.


Attachments