Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman

Manage PermissionsManage Permissions

PENGHANTARAN JEMAAH HAJI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BAGI MUSIM HAJI TAHUN 1441H/2020M

Kementerian Hal Ehwal Ugama sukacita memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan sokongan Majlis Ugama Islam Brunei yang bersidang pada hari Sabtu, 06 Jun 2020 bersamaan 14 Syawal 1441 untuk menangguhkan penghantaran Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam tahun 1441H/2020M ini. Yakni tidak ada penghantaran jemaah haji dari negara kita yang terdiri bakal jemaah haji seramai seribu orang yang telah terpilih untuk menunaikan ibadat haji tahun ini dan orang-orang yang berurusan sendiri sama ada belayar dari dalam negeri atau luar negeri, atas sebab-sebab berikut:

(1) Berdasarkan Hukum Syara' sebagaimana yang difatwakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan dalam Siri Fatwa (no.14/2020) bertajuk Penghantaran Jemaah Haji Bagi Tahun 1441H/2020M Dalam Situasi Pandemik Wabak COVID-19, yang rumusannya adalah:

  1. Penularan wabak COVID-19 masih menjadi ancaman kepada seluruh dunia dan penyebaran virus ini belum akan terhenti sepenuhnya dalam waktu yang terdekat. Kerajaan Arab Saudi juga berusaha untuk mengekang atau memutus rantaian penularan wabak COVID-19 daripada terus menjangkiti dan mendatangkan mudarat kepada penduduknya. Antaranya, dengan melaksanakan perintah berkurung, penggantungan ibadat umrah dan penutupan masjid-masjid di Tanah Haram seperti Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
  2. Oleh yang demikian adalah menepati kehendak Syara' untuk menangguhkan penghantaran Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi tahun 1441H/2020M ini, berdasarkan berat sangkaan keadaan tidak selamat akibat dari penularan pandemik COVID-19 yang masih berleluasa sehingga kini, yang tidak dapat diketahui atau dijangka bilakah ia akan berakhir.
  3. Jika pihak berkuasa atau kerajaan berpendapat pemergian jemaah haji pada musim haji tahun 1441H/2020M ini dianggap tidak selamat dan tertegah maka tegahan tersebut wajiblah dipatuhi demi maslahat jemaah haji iaitu keselamatan mereka dari ancaman wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia itu.

(2)   Berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan yang telah membentangkan senario dan situasi global pandemik wabak COVID-19 dalam persidangan Majlis itu bahawa masih ada kekhuatiran berhubung keadaan jangkitan pandemik itu. Oleh yang demikian Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa selaras juga dengan Hukum Syara' yang difatwakan oleh Mufti Kerajaan melalui Siri Fatwa (14/2020) itu maka pihaknya adalah menyokong untuk negara kita menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini.

(3)  Di samping itu dari pihak yang berkenaan dengan pengurusan ehwal ibadat haji pula menyatakan bahawa sehingga sekarang semua urusan berhubung dengan penghantaran seramai seribu orang jemaah haji kita masih belum dapat dibuat kerana prosesnya dibekukan. Iaitu berkenaan dengan visa haji, slot penerbangan, pengangkutan dan hotel tempat tinggal di Madinah, Mekah dan urusan di Masya'ir (Arafah dan Mina) bahkan urusan penjagaan kesihatan oleh petugas kesihatan dan perubatan dari Kementerian Kesihatan kita yang akan menyertai jemaah semasa di tanah suci. Semuanya belum dapat dibuat dan diproses. Oleh yang demikian Jabatan Urusan Haji Kementerian Hal Ehwal Ugama menyatakan bahawa masa adalah sangat suntuk untuk melakukan atau memproses semua itu sekiranya pun ibadat haji dibukakan kepada jemaah dari luar negeri seperti biasa.

Sehubungan dengan ketetapan ini maka segala urusan dan komitmen antara jemaah haji dengan syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji adalah akan diselesaikan antara mereka termasuklah bayaran-bayaran yang telah diterima daripada bakal jemaah oleh syarikat-syarikat berkenaan.

Attachments